SIRI ZIARAH MASJID EP 19 @ MASJID PARIT UNAS, MUAR, JOHOR.
Sebelum Covid teruk, kami sempat menziarah sebuah masjid di Muar selepas menghadiri kenduri kawan di kawasan berhampiran.
Singgah di Masjid ini. Agak lengang. Tandas di sebelah kanan. Tandas perempuan ada kerosakan. Tidak berapa terurus.
Masa ini, kelihatan beberapa jemaah lelaki sahaja. Mungkin belum tiba waktu berkumpul ataupun mereka sudah mengambil langkah hati-hati dengan ibadah di rumah masing-masing.
Sebelum ini pun kita digemparkan dengan wabak besar juga.
Tahun lepas, wabak Ebola.
Sebelumnya, H7N9 (virus selesema burung/ avian influenza).
Sebelumnya lagi, SARS ( Sindrom Pernafasan Akut Teruk).
Dulu-dulu, Virus Nipah.
Semua wabak ini menggugah dunia, samada kesihatan, sosial dan ekonomi.
Namun, apa langkah yang kita ambil?
Pesan nabi - Rasulullah pernah menyarankan agar jangan memasuki kawasan yang ditimpa wabak dan orang yang berada di dalam kawasan wabak tersebut dilarang meninggalkan tempat tersebut. Ini bertujuan bagi mengekang penularan dan kebinasaan.
al-Imam al-Bukhari merekodkan riwayat berkenaan Saidina Umar yang bermusafir ke negeri Syam. Beliau kemudian dimaklumkan tentang wabak penyakit yang menimpa tempat yang dituju tersebut. Salah seorang sahabat bernama Abdul Rahman ibn Auf menasihatkan:
إن عندي في هذا علما سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول: «إذا سمعتم به في أرض فلا تقدموا عليها، وإذا وقع بأرض وأنتم بها فلا تخرجوا فرارا منه».
“Sesungguhnya aku mempunyai ilmu tentang perkara ini. Aku pernah mendengar Rasulullah bersabda: Sekiranya kamu mendengar tentang sesuatu wabak di satu tempat maka janganlah kamu memasukinya, manakala sekiranya wabak tersebut telah melanda sesuatu tempat, jangan pula kamu meninggalkan tempat tersebut (bagi mengawal penularan).”
(Muttafaqun alaihi, HR Bukhari & Muslim).
Mendengar nasihat Abdul Rahman ibn Auf ini, Saidina Umar memuji Allah kerana keputusan yang beliau buat selari dengan hadith Nabi iaitu menghentikan hasrat untuk meneruskan perjalanan ke tempat yang ditimpa wabak tersebut.
Ketika menghuraikan hadith ini, al-Imam Ibn Hajar menjelaskan bahawa tidak seharusnya bagi Muslim mendedahkan diri mereka kepada kebinasaan. Setiap langkah mesti diambil bagi memelihara nyawa setiap kita. Ini selaras dengan firman Allah:
وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ
“Dan janganlah kamu menghumbankan diri kamu dengan tanganmu sendiri kepada kebinasaan.”
Maka, sama-samalah kita jadi bijak ye. Saya pun berkorban tak balik kampung, walaupun cuti 2 minggu.😭😭
Comments
Post a Comment